BIG GAME

Friday, June 19, 2009

CABARAN PERJALANAN (Bab 1 sambungan..VI.)

‘Manau’ jawabnya pendek dan ringkas.
Manau!!!....apakah itu manau? Fikir aku di dalam hati.
Satu perbendaharaan kata baharu bagi aku. Kayukah manau itu? Papankah manau itu? Atau akarkah manau itu?.....persoalan-persoalan yang aku sendiri tidak mahu bertanya lebih lanjut kepada rakan aku di sebelah tempat duduk di dalam perahu kajang. Aku khuatir akan ditertawakan oleh rakan baru aku. Aku tidak tahu budi bicaranya. Aku masih tidak kenal lagi rakan aku itu. Dari manakah asalnya. Sudah berapa tahunkah dia bertugas di SK Bkt Mat Daling. Sememangnya aku tidak kenal lagi rakan aku itu.

Persoalan-persoalan itu tamat dari fikiran aku. Aku menumpukan perhatianku kepada lenggang-lenggoknya sungai Tembeling, sungai yang mengalirkan airnya jauh dari tengah semenanjung barat Malaysia hingga ke Pekan diraja Pahang Darul Makmur. Beratus kilometer airnya mengalir tidak putus-putus sepanjang zaman. Sungai inilah yang menjadi saksi suka-duka pejuang Melayu menentang penjajahan British di Tanah Melayu. Sungai inilah yang membekalkan air kepada penduduk di sepanjang sungai dan sungai inilah yang memberi kehidupan kepada ikan-ikan di dalamnya yang menjadi sumber makanan kepada penduduk di sepanjang aliran airnya yang jernih dihulu.

Sesekali aku terlihat beberapa biawak besar terdampar di tepi sungai mematikan dirinya. Biawak besar seperti memerhatikan perahu kajang mudik ke hulu membawa aku yang baru ke daerah jauh di pendalaman. Biawak-biawak itu seolah-olah mengucapkan selamat datang kepada aku. Di Udara kedengaran bunyi burung enggang memanggil-manggil sesuatu, entah dari mana bunyinya tidak dapat aku pastikan. Pokok-pokok besar dan tinggi menyelimuti bumi daerah ulu Tembeling ini. Seekor enggang terbang melepasi perahu kajang yang membawa aku. Keriangan enggang berbunyi menambahkan sayu dihati aku. Ungka di kejauhan sahut-menyahut mendayu-dayu bunyinya seolah-olah mendendangkan lagu selamat datang. Keharmonian flora dan fauna di alam Ulu Tembeling menampak kesepakatan dan kerjasama sesama makhluk Tuhan. Mereka hidup di daerah yang sama, mempunyai resam hidup berlainan. Sang unggas di udara, sang melata di darat dan sang toman di air kesemuanya mengikut garis takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan. Mereka tidak pernah pun menyesal atau berdendam sekiranya yang di air menjadi mangsa sanga di darat, sang di darat menjadi pula mangsa sang di udara. Ketentuan Ilahi di patuhi oleh semua penghuni lembah Ulu Tembeling yang jauh dari pembangunan rakus manusia. Sayu aku memikirkan diri aku yang ditugaskan ke sini. Di Melaka tanah tumpah kelahiran aku yang menyaksikan aku membesar dan bersekolah di sana tinggal dalam kenangan buat sementara waktu. Di Daerah Alor Gajah jauh berbeda dari daerah yang sedang aku tempohi. Cuti persekolahan nanti, itulah waktu kita akan bertemu kembali wahai tanah kelahiran aku….Melaka.

Cahaya kian meredup, sang matahari mahu merehatkan dirinya. Unggas-unggas penyeri taman syurga yang dikelilingi hutan belantara sibuk membuat persiapan untuk pulang ke sarang. Sang ikan di dalam air mungkin mencari rezki terakhir untuk hari ini. Enjin sangkut masih setia mendendangkan irama yang itu sahaja yang ianya tahu…. Irama yang menjadi tanda adanya kenderaan air utama di lembah Ulu Tembeling ini. Perahu kajang kami masih lagi menungkah arus melalui liku-liku sungai.

Perahu kajang yang sarat membawa barang untuk penyambung hidup berhenti di jeti…. Ah… masih ada lagi kampung di ulu sungai ini. Aku membisikan soalan untuk bertanya rakan aku. Katanya inilah Kampung Bantal. Kampung ini menjadi tumpuan orang-orang lembah Ulu Tembeling berkumpul membeli belah setiap hujung minggu. Kampung Bantal menjadi pusat aktiviti orang-orang disini setiap ada kunjungan dari Sultan Pahang. Istana hingga Sultan Pahang terletak di sini begitu juga rumah rehat.

Perjalanan di teruskan, hari semakin samar.
‘Apakah aku akan sampai ke kampung Bukit Mat Daling dengan perahu kajang ini?’ Tanya hati aku.
‘Kalau tak sampai! Macam mana nak buat!’ soalan yang tidak dapat aku menjawabnya.
Laluan melepasi sungai Sepia menjadi lebih sukar…. Perahu kajang kerap kali terkandas di beting pasir.. tugas meneruskan perjalanan terpaksa dilakukan.. seluar pendek yang baru aku beli di Pekan Kuala Tembeling tidak sempat kering.

Laluan semakin cetek dan hari semakin gelap.. aku cuba-cuba memandang ke hadapan ingin melihat alor-alor laluan yang boleh diikuti oleh perahu kajang, tetapi hampa. Penunjuk haluan sering kali terkeliru untuk menunjukkan jalan walaupun dia orang kelahiran di lembah Ulu Tembeling ini. Orang yang sudah sebati dengan penghidupan di air sungai Tembeling ini. Aku cemas seketika bila perahu kajang menghampir tebing berpasir si suatu selekoh. Penunjuk haluan melompat ke tanah dan menarik tali perahu kajang untuk merapatkan perahu ke tepi pasir. Perilaku penunjuk haluan kelihatan samar-samar sahaja, ini membuatkan aku mulai cemas.

‘Kita berhenti di sini, tidak boleh nak mudik lagi!’ kata boatman yang selingkungan 40’an umurnya.

No comments: